KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Najib berkata Dewan Tertinggi mengambil keputusan itu kerana kekosongan di DUN itu bukan disebakan oleh peruntukan dalam pembangkang, sebaliknya hanya mainan politik pembangkang.
"Kekosongan itu disebabkan PKR (Parti Keadilan Rakyat) nak selesaikan masalah dalaman, oleh kerana ia merupakan satu mainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan.
"BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan memulihkan ekonomi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN kira-kira dua jam.
Ditanya sama ada keputusan itu disebabkan BN bimbang ditewaskan, Najib berkata hal itu tidak timbul kerana parti itu tetap akan menghadapi rakyat semasa pilihan raya umum akan datang. "kita tidak mahu terjerumus dalam politik pembangkang," katanya.
Berhubung sama ada keputusan itu akan mengecewakan pengundi-pengundi di Penanti, Najib berkata: "Saya percaya mereka akan faham. Kita masih akan b'khidmat ikut saluran."
Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.
Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.
Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.
No comments:
Post a Comment